SKUAD Harimau Malaya digesa mempamerkan mentaliti juara dengan memburu kemenangan pada aksi persahabatan antarabangsa menentang pasukan ranking ke-72 dunia, Cape Verde malam ini.
Pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski percaya kedudukan ranking yang lebih tinggi pasukan pelawat bukanlah alasan untuk barisan pemain hilang keyakinan dengan keupayaan masing-masing.
Cklamovski berkata, dua aksi persahabatan menentang Cape Verde ini bakal menjadi ujian sebenar buat pasukan sebelum mengalihkan tumpuan kepada aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam, 10 Jun depan.
“Perlawanan menentang Vietnam masih jauh lagi, tetapi ini (aksi menentang Cape Verde) adalah satu persiapan yang besar untuk perlawanan itu.
“Apa yang penting ialah bola sepak adalah satu perlawanan yang unik dan kita perlu menghormati semua lawan kita.
“Kita perlu memberikan persembahan berpasukan yang terbaik dan turun dengan mentaliti yang kuat tanpa mengira siapa pun lawan kita. Perkara seperti ini yang akan menghubungkan kita sebagai satu pasukan.
“Siapa pun yang akan bermain nanti, 11 pemain di atas padang akan tunjukkan apa maknanya bermain untuk Malaysia. Ini satu perlawanan yang menarik menentang pasukan yang baik,” katanya.
Mengulas lanjut, pengendali import dari Australia itu turut melihat corak permainan Cape Verde memiliki corak permainan yang hampir sama dengan Vietnam sekali gus bakal membantu persiapan skuad negara.
“Cape Verde dan Vietnam hampir serupa dari segi fizikal, kekuatan, kepantasan dan corak permainan yang ‘direct’.
“Perlawanan menentang pasukan yang kuat seperti ini akan membantu perkembangan kita sebagai sebuah pasukan,” katanya.