KUALA LUMPUR – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim menyindir prestasi pemainnya apabila mengakui mereka berhak diejek oleh peminat-peminat untuk melonjakkan pasukan ke arah yang lebih baik.
Selepas bergelut di Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini termasuk gagal memenangi Liga Europa, The Red Devils seperti berada pada titik terendah apabila dikejutkan ASEAN All-Stars 0-1 pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur kelmarin.
“Saya sentiasa rasa bersalah atas prestasi pasukan dan ia dapat dirasakan sejak hari pertama bersama pasukan lagi. Saya fikir ejekan daripada peminat adalah sesuatu yang kami perlukan.
“Kami catatkan kekalahan di Liga Perdana Inggeris dan peminat sentiasa ada berikan sorakan kepada kami. Sokongan juga seperti bermain bola sepak.
“Sekiranya mereka lihat ia tidak berkesan, mereka pasti akan mengubah tindakan. Seperti yang saya katakan, penyokong kekal bersama kami, jadi tunggu sahaja untuk harungi musim depan,” katanya.
Dalam masa sama, Amorim mengambil pendekatan ‘kunci mulut’ berhubung kehadiran penggempur prolifik Wolverhampton Wanderers, Matheus Cunha yang bakal menajamkan jentera serangan pasukannya musim depan.
Cunha dikatakan semakin hampir untuk melengkapkan perpindahan ke Old Trafford daripada Stadium Molineux menerusi yuran perpindahan bernilai £62.5 juta (RM356.45 juta), cumanya rundingan masih belum dimuktamadkan dari segi cara pembayaran.
“Tentang perkara itu, semuanya sedang dibincang dan diperkatakan oleh anda semua tetapi kena tunggu musim depan.
“Saya tidak akan mengesahkan apa-apa dan saya tiada perkembangan terbaharu tetapi pasti akan berlaku perubahan,” tambah Amorim. – AGENSI