fbpx

Mahkamah AS sekat tarif Trump

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Trump menunjukkan carta tarif pada acara Make America Wealthy Again di White House, di Washington, DC pada 2 April lalu. - AFP 

WASHINGTON –  Sebuah mahkamah persekutuan di Amerika Syarikat (AS) memutuskan  Presiden Donald Trump melampaui bidang kuasa yang diperuntukkan apabila melaksanakan  tarif secara menyeluruh. 

Saluran berita CNN melaporkan kelmarin bawah pentadbiran Trump segera memfailkan notis rayuan terhadap keputusan itu. 

Panel tiga hakim Mahkamah Perdagangan Antarabangsa AS berpangkalan di Manhattan menyekat tarif global Trump. Presiden AS berkenaan menggunakan peruntukan kuasa ekonomi kecemasan untuk menguatkuasakan tarif tersebut pada 2 April lalu termasuk tarif ‘Hari Pembebasan’.

Keputusan itu turut menghalang Trump daripada menguatkuasakan tarif yang dikenakan awal tahun ini ke atas China, Mexico dan Kanada dengan alasan untuk memerangi kemasukan dadah fentanyl ke AS. 

Mahkamah memutuskan memihak kepada injunksi kekal yang berpotensi menghentikan pelaksanaan tarif global Trump.

Mahkamah sama turut memerintahkan tempoh 10 hari untuk pentadbiran Trump melaksanakan keputusan tersebut. 

Perintah itu menamatkan tarif 30 peratus ke atas China, 25 peratus terhadap barangan yang diimport dari Mexico dan Kanada serta 10 peratus tarif universal melibatkan kebanyakan barangan yang masuk ke AS. 

Namun, keputusan itu tidak menjejaskan tarif 25 peratus ke atas kereta, alat ganti kereta, keluli atau aluminium yang tertakluk di bawah Seksyen 232 Akta Perluasan Perdagangan. 

Tindakan undang-undang terbabit difailkan oleh firma guaman bukan bermotifkan keuntungan, Liberty Justice Center pada April lalu dan mewakili penjual wain VOS Selections serta empat perniagaan kecil lain yang mendakwa mereka terjejas teruk akibat tarif Trump. –  AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI