MARAN – Mayat seorang lelaki ditemukan lemas di Sungai Pahang berhampiran pam pasir dekat Kampung Paya Pasir di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, mayat mangsa ditemukan orang awam kira-kira pukul 1.29 tengah hari yang kemudiannya memaklumkan kepada pihak polis.
“Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan terlingkup di dalam air sungai berpakaian baju T warna hijau dan berseluar panjang jeans warna gelap.
“Mayat mangsa dibawa ke tebing dengan bot bomba dan dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, berdasarkan pemeriksaan awal mendapati terdapat dompet di dalam poket seluar belakang mangsa yang ada kad pengenalan dipercayai milik mangsa yang berumur 58 tahun.
Katanya, anak mangsa telah membuat pengecaman dan mengesahkan mangsa yang maut adalah bapa mereka.
“Berdasarkan keputusan bedah siasat mengesahkan sebab kematian mangsa adalah lemas,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE