fbpx

LBS rekod permulaan baik bagi tahun kewangan 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Dr. Lim Hock San

PETALING JAYA – Pemaju hartanah terkemuka pilihan rakyat, LBS Bina Group Berhad (LBS) terus mengekalkan naratif pertumbuhan yang positif bagi suku pertama (Q1) tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (TK2025).

Dalam keputusan kewangan belum diaudit yang diumumkan hari ini, LBS berkata, peningkatan aktiviti pembinaan tapak secara progresif telah mendorong peningkatan hasil sebanyak 15 peratus kepada RM329.2 juta pada Q1 TK2025, berbanding RM287.1 juta pada suku sebelumnya.

Dipacu oleh projek-projek utama terutamanya KITA @ Cybersouth, LBS Alam Perdana, Prestige Residence dan projek Idaman, pembangunan LBS di Lembah Klang kekal sebagai penyumbang utama, merangkumi lebih 86 peratus daripada hasil.

Peningkatan hasil turut menyumbang kepada peningkatan keuntungan selepas cukai kepada RM32.5 juta pada Q1 TK2025, iaitu lebih dua kali ganda berbanding RM15.8 juta pada suku sebelumnya.

Mengulas mengenai prestasi syarikat, Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, pihaknya optimis dengan prestasi permulaan tahun 2025, setelah mencatat jualan sebanyak RM281.2 juta serta tempahan jualan tambahan berjumlah RM256 juta.

Jelasnya, pencapaian itu didorong oleh permintaan yang memberangsangkan terhadap kilang bersaiz kecil dan sederhana berteknologi tinggi di Taman Perindustrian Alam Perdana, selain kejayaan pelancaran Centrum Iris, iaitu presint kedua dan pembangunan bercampur terbesar di Cameron Centrum pada awal tahun ini.

“Penerimaan pasaran yang menggalakkan bagi kedua-dua projek ini mencerminkan keyakinan tinggi terhadap pembangunan kami, sekali gus mengukuhkan lagi strategi kami dalam menyediakan projek yang berasaskan permintaan sebenar pasaran.

“Berpandukan Strategi 8 x 8, LBS komited untuk melancarkan rangkaian projek yang kukuh dalam tempoh tiga tahun akan datang, dengan jumlah Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM8 bilion.

“Gabungan perancangan ini, bersama rizab tanah kami seluas 1,535 hektar serta jualan belum dibil RM1.61 bilion meletakkan kami pada kedudukan kukuh bagi mencapai pertumbuhan mampan serta memastikan pulangan pendapatan di masa hadapan.

“Selain itu, kami turut meneroka peluang untuk mengembangkan kehadiran kami di Melaka menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman baharu bagi membangunkan projek perindustrian bercampur dengan anggaran GDV melebihi RM7 bilion.

“Kami teruja dengan potensi peluang pertumbuhan ini dan dalam menghadapi masa hadapan, kami kekal berhati-hati tetapi optimis. LBS akan terus mengambil pendekatan positif terhadap perubahan keperluan pasaran sambil memperkukuh kekuatan sedia ada bagi memacu pertumbuhan mampan,” katanya dalam kenyataan.

Membuktikan komitmennya terhadap pemulangan nilai kepada pemegang saham, Lembaga Pengarah LBS telah mencadangkan dividen akhir satu peringkat sebanyak 1.10 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-25 yang akan diadakan 26 Jun 2025.

Sekiranya diluluskan, jumlah keseluruhan pembayaran dividen bagi tahun 2024 adalah sebanyak 4.70 sen sesaham biasa, yang termasuk dividen interim pertama satu peringkat sebanyak satu sen sesaham biasa serta dividen khas satu peringkat sebanyak 2.60 sen sesaham biasa.

Ia akan melibatkan pembayaran berjumlah RM73.2 juta secara keseluruhan, iaitu nisbah pembayaran dividen sebanyak 30 peratus, selaras dengan dasar dividen Kumpulan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI