BANGKOK – Empat orang termasuk guru dan sukarelawan cedera selepas sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan rambang dalam satu acara sukan di wilayah Narathiwat, selatan Thailand, lapor portal berita Bangkok Post.
Kejadian berlaku sekitar pukul 2.20 petang (waktu tempatan) di Ibu Pejabat Daerah Koh Sathon semalam.
Acara itu bertujuan untuk menggalakkan gaya hidup sihat dan memerangi gejala penagihan dadah.
Dua sukarelawan pertahanan cedera, masing-masing terkena tembakan di lengan dan telinga kanan.
Dua lagi mangsa merupakan guru dari sekolah berbeza dengan seorang cedera parah akibat ditembak di bahagian dada.
Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Tak Bai untuk rawatan lanjut.
Menurut seorang saksi kejadian, sekurang-kurangnya enam lelaki bersenjata tiba di tempat kejadian dengan menaiki tiga motosikal dan memakai topi.
“Mereka melepaskan tembakan secara rambang sebelum melarikan diri,” katanya.
Polis sedang giat menjalankan siasatan. – AGENSI