JOHOR BAHRU – Seorang pengawal keselamatan dipenjara tujuh tahun dan dikenakan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menyamun menggunakan parang di Senai, Kulai minggu lalu.
Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, K. Murugan, 45, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya.
Semalam, mahkamah menangguhkan keputusan ke atas tertuduh kerana barang kes akan dikemukakan pada prosiding hari ini.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan parang untuk merompak seutas rantai emas dan dua loket milik lelaki berusia 22 tahun di hentian bas Jalan Bendahara, Taman Dawani pada pukul 8.30 malam, 23 Mei lalu.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, K. Bharathi berkata, anak guamnya sudah menyesal atas perbuatan itu dan berjanji tidak akan mengulanginya pada masa akan datang.
“Tertuduh bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji RM1,900 sebulan. Dia mempunyai penyakit jantung dan menanggung isteri menghidap kanser selain empat anak termasuk seorang orang kurang upaya (OKU),” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Syafiqah Sha’ri bagaimanapun memohon hukuman setimpal kerana ia merupakan kesalahan serius.
“Tertuduh menyamun mangsa yang baru pulang dari kerja di Singapura. Tertuduh juga menggunakan parang iaitu senjata berbahaya untuk mengancam nyawa mangsa. Mangsa bernasib baik kerana tertuduh ditahan polis ketika melakukan jenayah itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE