fbpx

Kaamatan, Gawai lambang kesyukuran dan perpaduan masyarakat majmuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pesta Kaamatan dan Hari Gawai bukan sahaja perayaan warisan kaya dengan nilai adat resam dan budaya, malah melambangkan semangat kesyukuran, muafakat serta perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.

PETALING JAYA – Pesta Kaamatan dan Hari Gawai bukan sahaja perayaan warisan kaya dengan nilai adat resam dan budaya, malah melambangkan semangat kesyukuran, muafakat serta perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, kepelbagaian budaya, bahasa dan warisan yang dimiliki oleh rakyat Malaysia adalah satu anugerah serta kekuatan yang tidak ternilai.

“Ia menjadikan Malaysia unik di mata dunia dan perlu terus dipelihara, dihormati dan diraikan oleh semua lapisan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menekankan peranan penting generasi muda dalam memastikan kelestarian budaya serta adat resam nenek moyang agar terus segar dalam arus dunia moden dan globalisasi yang kian mencabar.

“Mereka harus dididik untuk memahami, menghormati dan menerima kepelbagaian sebagai satu landasan keharmonian serta kekuatan nasional,” ujarnya.

Seiring dengan komitmen Kerajaan Malaysia Madani, Aaron berkata, kementeriannya terus memperkasa pelbagai inisiatif seperti program silang budaya, pendidikan warisan serta dialog antara komuniti bagi memperkukuh nilai perpaduan sebagai teras pembangunan negara.

“Semangat ‘Segulai Sejalai’ iaitu seiring dan sejalan menjadi lambang kepada kekuatan kita sebagai sebuah negara berbilang kaum dan etnik.

“Ia bukan hanya slogan, tetapi nilai hidup yang harus ditanam dalam hati setiap warganegara, khususnya generasi muda yang bakal mewarisi masa depan Malaysia,” jelasnya.

Beliau turut mengajak rakyat Malaysia menyambut perayaan ini dengan jiwa Malaysia Madani memupuk rasa hormat dalam kepelbagaian, memelihara khazanah budaya warisan dan memperteguh silaturahim sebagai asas kekuatan negara bangsa yang bersatu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI