MELAKA – Seorang gadis yang mengalami kecederaan parah di bahagian kaki selepas terlibat dalam nahas jalan raya pada 19 Mei lalu dilaporkan meninggal dunia selepas sembilan hari bertarung nyawa di Hospital Melaka di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.22 pagi itu, mangsa, Farra Adrienna Rahim, 24, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC bersama rakannya dikatakan terbabas selepas bergesel dengan sebuah lori ketika cuba memotong dari arah kiri di Jalan Rim-Bukit Katong, Jasin.
Menurut bapa mangsa, Rahim Rahman, 52, kali terakhir dia dapat bertentang mata dengan anak gadisnya itu adalah pada Khamis lalu sebelum mangsa menjalani pembedahan bagi memotong kedua-dua belah kakinya yang cedera parah.
“Farra menyewa di Duyong dan biasanya memang hujung minggu dia akan balik ke rumah keluarga kami di Asahan.
“Selalu dia akan kejut saya untuk pulang bekerja tetapi pada pagi kejadian dia terus berangkat,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui Kosmo! di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka, semalam.
Rahim yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Asahan memberitahu, anaknya itu bekerja di bahagian dapur Hard Rock Cafe susulan amat meminati bidang kulinari.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, ketika kejadian mangsa dan rakan perempuannya berusia 24 tahun yang membonceng dalam perjalanan dari arah Asahan menghala ke Melaka.
“Sebaik tiba di lokasi, motosikal mangsa telah memotong dari sebelah kiri sebuah lori lalu bergesel dengan kenderaan itu.
“Mangsa kemudian telah terjatuh dan mengalami kecederaan parah di kaki, anggota badan serta muka, manakala pembonceng mengalami luka-luka,” katanya di sini, hari ini.
Ujarnya, selepas sembilan hari menerima rawatan, mangsa telah disahkan meninggal dunia semalam akibat jangkitan kuman dan organ tidak berfungsi.
Katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE