WASHINGTON – Syarikat automotif Ford memanggil semula lebih sejuta kenderaan jenama tersebut di Amerika Syarikat ekoran masalah perisian yang boleh menyebabkan imej pada kamera belakang kelihatan tidak bergerak atau lewat dipaparkan semasa pemandu mengundur.
Pentadbiran Keselamatan Lalu Lintas Lebuhraya Kebangsaan (NHTSA) berkata, ralat itu menimbulkan risiko kemalangan kerana kamera belakang mungkin tidak memaparkan imej dengan betul semasa pemandu mengundur, lapor portal berita Independent.
Ford berkata, tiada kecederaan dilaporkan berkaitan isu itu tetapi menambah, ia sedia maklum mengenai laporan dakwaan kemalangan kecil yang mengakibatkan kerosakan harta benda.
NHTSA memberitahu Ford tentang isu itu pada 17 Januari lalu.
Pemilik kenderaan yang terjejas akan menerima surat dalam e-mel mengenai isu itu menjelang 16 Jun ini , demikian menurut notis NHTSA.
Surat kedua akan dihantar lewat tahun ini dengan maklumat lanjut setelah penyelesaian disediakan, tambahnya.
Ford berkata, ia merancang untuk mengemas kini perisian kenderaannya tahun ini secara percuma melalui pengedarnya atau melalui kemas kini secara dalam talian. – AGENSI