WASHINGTON – Bilionair Elon Musk meletak jawatan sebagai penasihat kerajaan Amerika Syarikat (AS) bagi mengurangkan perbelanjaan persekutuan, sejurus selepas pertelingkahan pertama beliau dan Presiden Donald Trump mengenai rang undang-undang (RUU) belanjawan negara.
“Oleh kerana peranan saya sebagai Pekerja Khas Kerajaan tamat, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden Donald Trump di atas peluang yang diberikan bagi mengurangkan pembaziran perbelanjaan negara,” kata Musk di platform X kelmarin.
Taikun teknologi kelahiran Afrika Selatan itu berkata, RUU perbelanjaan baharu yang ditandatangani oleh Trump akan meningkatkan defisit dan menjejaskan kerja Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE), yang setakat ini memecat berpuluh-puluh ribu kakitangan awam.
“Saya kecewa melihat RUU perbelanjaan yang begitu besar. Terus terang, RUU ini akan meningkatkan defisit belanjawan dan bukan mengurangkannya. Ia menjejaskan kerja yang sedang dilakukan oleh pasukan DOGE,” kata Musk.
RUU dinamakan One Big, Beautiful Bill Act itu diluluskan Dewan Perwakilan AS pada minggu lepas. Akta itu menawarkan pelepasan cukai yang meluas dan pemotongan perbelanjaan serta merupakan tunjang agenda domestik Trump.
Bagaimanapun, pengkritik-pengkritik memberi amaran bahawa akta itu akan meruntuhkan sistem penjagaan kesihatan serta meningkatkan defisit belanjawan negara sebanyak AS$4 trilion (RM4.24 trilion) dalam masa satu dekad. – AFP