PETALING JAYA – Pelakon Sherry Ibrahim menafikan dakwaan sudah mendirikan rumah tangga selepas dia berkongsi video bersanding di atas pelamin bersama pelakon Fadlan Hazim dalam TikTok baru-baru ini.
Menjawab pertanyaan ramai, Sherry atau Syarizad Ibrahim, 42, berkata persandingan tersebut hanyalah sebahagian daripada adegan drama lakonannya iaitu Nikmat Hanya Sesaat.
“Banyak sangat komen yang saya terima, sebenarnya itu bukan perkahwinan saya.
“Itu adalah perkahwinan Julia (watak lakonannya) dan Zafrul (Fadlan) dalam drama yang sedang ditayangkan sekarang menerusi slot Samarinda TV3 berjudul Nikmat Hanya Sesaat,” katanya dalam sebuah video TikTok.
Tidak berasa kecil hati, dia bagaimanapun menerima setiap komen yang mahu melihatnya mendirikan rumah tangga dengan berlapang dada dan akan berkongsi sekiranya dipertemukan jodoh satu hari nanti.
“Terima kasih semua yang komen dan kepada yang mendoakan saya.
“Insya-Allah kalau ada jodoh nanti, adalah ya,” katanya lagi.
Menerusi video tersebut, Sherry lengkap memakai busana pengantin dan sedondon dengan Fadlan.
Dalam ruangan komen, rata-rata peminat mendoakan agar dia menemui lelaki yang tepat sebagai suami.
“Semoga Sherry dapat jodoh lelaki soleh pada waktu yang tepat dan bahagia.
“Ingatkan kahwin betul-betul. Sherry bila nak kahwin? Semoga cepat dapat jodoh.
“Terkejut Sherry kahwin, rupa-rupanya hanya drama,” komen netizen. – KOSMO! ONLINE