fbpx

Dua suspek kes simbah asid pemilik spa bebas dengan jaminan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mangsa (kiri) dibantu oleh orang ramai selepas disimbah asid di premisnya di pekan Beris Kubur Besar, Bachok kira-kira dua minggu lalu.

BACHOK – Dua pekerja kilang getah termasuk seorang wanita yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes simbah asid terhadap pemilik spa di Beris Kubur Besar di sini pada 17 Mei lalu dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaludin berkata, lelaki berusia 45 tahun dan wanita 38 tahun itu dibebaskan semalam.

Menurutnya, mereka sebelum ini ditahan di Kuala Krai untuk membantu siasatan kes tersebut.

“Polis memberi jaminan kepada kedua-dua suspek itu sehingga laporan sampel asid yang diambil dari kilang tempat suspek bekerja diperoleh dari Jabatan Kimia dan makmal forensik Polis Diraja Malaysia.

“Siasatan lanjut kes itu masih dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mandatangkan kecederaan parah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Terdahulu, seorang wanita yang berusia 38 tahun ditahan di sebuah rumah di Kuala Krai pada 21 Mei lalu bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

Mohamad Ismail berkata, wanita itu ditahan reman selama lima hari bermula 22 Mei hingga Sabtu lalu sebelum tempoh tahanannya ditambah empat hari lagi.

“Seorang lelaki berusia 45 tahun yang merupakan rakan sekerja kepada wanita tersebut turut ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes tersebut,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang pemilik spa dan salun kecantikan parah selepas diserang empat individu yang menyamar pelanggan berpurdah dengan cecair asid ketika berada di premisnya di pekan Beris Kubur Besar di sini pada 17 Mei lalu.

Kejadian kira-kira pukul 8.40 malam itu menyebabkan mangsa, Nor Faziera Muda, 27, mengalami kecederaan parah pada lengan kanan dan belakang badan.

Mohamad Ismail berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, mangsa ada menerima janji temu daripada seorang pelanggan untuk rawatan mengurut di premisnya.

Menurutnya, sebaik wanita itu membuka pintu premisnya, suspek bertindak menyimbah cecair dipercayai asid ke arahnya sebelum beredar.

“Anggota forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan yang melakukan siasatan menemui empat kesan cap jari di lokasi kejadian,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI