MELAKA – Dua pemandu lori ditahan selepas disyaki positif dadah dan mabuk dalam operasi khas kenderaan perdagangan di seluruh negeri ini sejak dua minggu lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, operasi itu dilaksanakan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka bermula 14 hingga 27 Mei lalu.
Katanya, sebanyak 1,248 buah kenderaan perdagangan diperiksa dan 700 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
“Operasi khas ini menyasarkan kenderaan perdagangan termasuk bas dan lori. Sebanyak 700 saman dikeluarkan dengan 200 daripadanya ke atas lori.
“Ketika pemeriksaan, dua pemandu lori berusia 41 dan 47 tahun dikesan mengambil dadah dan berada di bawah pengaruh alkohol,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Kedua-dua lelaki itu ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya.
Dalam operasi sama, sebanyak 18 buah lori telah ditimbang dan empat daripadanya disita selepas didapati membawa muatan melebihi had dibenarkan.
“Kita akan terus melaksanakan operasi mengejut ini bagi mengesan kesalahan lalu lintas yang dilakukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE