SEBERANG PERAI – Seorang wanita bersama anak perempuan berusia lima tahun dilaporkan cedera selepas kereta yang mereka naiki terlibat kemalangan membabitkan enam ke kenderaan di Kilometer (KM) 160 Lebuh Raya Utara-Selatan, arah Utara dekat Jawi di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden berlaku pada pukul 12.38 tengah hari tadi.
Menurutnya, operasi menyelamat melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal yang diketuai Komander Operasi, Ahmad Zaki Sabri.
“Kemalangan melibatkan enam kenderaan namun tiga daripada kenderaan terbabit telah beredar dari lokasi kejadian.
“Secara keseluruhannya, terdapat sembilan mangsa namun hanya dua daripada tiga mangsa yang menaiki kereta Perodua Axia iaitu wanita berusia 30-an dan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun mengalami kecederaan ringan.
“Kedua-duanya telahpun dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan manakala mangsa yang menaiki kereta jenis Honda City dan Mazda tidak mengalami sebarang kecedaraan,” katanya di sini,hari ini.
Beliau berkata, penilaian pihaknya mendapati lokasi kejadian dalam keadaan selamat dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, pihak PLUS melalui aplikasi X memaklumkan kemalangan yang berlaku mengakibatkan kesesakan sejauh 11 kilometer. -KOSMO! ONLINE