PETALING JAYA – Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045 yang dimasyhurkan baru-baru ini melambangkan keupayaan Malaysia merencana pelan strategik 20 tahun ke hadapan bagi rantau ini pasca-2025.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 di ibu negara juga mencatat kemajuan besar dalam ekonomi digital, pelaburan hijau dan keterangkuman sosial.
“Kemajuan besar dalam kerjasama serantau yang lebih tersusun bersama Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China. ASEAN kini tampil lebih bersatu, berpaksikan rakyat dan bersedia melangkah ke hadapan dengan tekad yang segar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Anwar berkata, Malaysia berjaya menganjurkan antara persidangan paling substantif dalam sejarah ASEAN bukan sahaja dari segi perbincangan, malah kenyataan bersama yang kukuh dan bermakna. – KOSMO! ONLINE