MELAKA – Situasi di lokasi kemalangan maut membabitkan seorang lelaki berusia 22 tahun bertukar kecoh apabila bungkusan plastik dipercayai dadah ditemui bertaburan berhampiran motosikal ditunggangi mangsa di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), di Paya Rumput, di sini, hari ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kemalangan pada pukul 7.54 pagi dan pegawai penyiasat telah melakukan pemeriksaan di lokasi.
Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang dalam perjalanan dari arah Cheng menuju ke Alor Gajah telah melanggar bahagian belakang sebuah Perodua Bezza dipandu lelaki berusia 48 tahun.
“Pelanggaran itu menyebabkan motosikal mangsa hilang kawalan lalu bergesel dengan sebuah lori dipandu lelaki 44 tahun yang turut berada di laluan sama.
“Mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, pemeriksaan lanjut di lokasi turut menemui sebanyak 450 paket dadah disyaki heroin seberat 688.81 gram dan 12 paket methamphetamine seberat 13.41 gram berhampiran motosikal mangsa.
“Berdasarkan jumlah rampasan, kita percayai mangsa terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dan dalam perjalanan untuk menghantar bekalan tersebut.
“Bagaimanapun si mati tidak mempunyai sebarang rekod lampau berkaitan dadah atau jenayah, jadi kita tidak menolak kemungkinan dia baru sahaja melakukan kegiatan itu,” ujarnya.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE