PETALING JAYA – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri R Ramanan membidas tindakan pihak yang sengaja menggunakan namanya bagi menyebarkan fitnah menerusi kenyataan media.
Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, tindakan itu adalah perkara yang tidak bertanggungjawab serta cukup terdesak untuk kepentingan politik.
“Sebarang kenyataan media yang rasmi hanya akan dikeluarkan melalui pejabat saya atau melalui platform media sosial rasmi sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru, Ramanan meminta semua pihak untuk lebih berhati-hati dengan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab yang semakin “terdesak” untuk menyebarkan fitnah.
“Sepertimana yang disarankan semasa membuat ucapan penggulungan saya di Kongres Nasional KEADILAN pada minggu lepas, gejala penyebaran bahan- bahan fitnah semakin berleluasa, anggota parti perlu melawannya dengan tindakan yang drastik,”tegasnya.-KOSMO! ONLINE