IPOH – Sikap segelintir masyarakat yang memberi dan meninggalkan makanan kepada gajah di tepi Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli amat dikesali.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, tindakan tersebut membahayakan kerana ia boleh mengubah tabiat gajah untuk kerap berada di tepi jalan kerana percaya makanan akan disediakan.
Beliau memberi contoh sekumpulan monyet yang berada di beberapa kawasan tepi jalan juga adalah disebabkan manusia kerap memberi makanan di lokasi tersebut dan percaya ia boleh berlaku terhadap gajah.
“Perkara ini membahayakan. Ia akan mendorong gajah untuk duduk di tepi jalan. Sama berlaku terhadap monyet, di mana ada sesetengah lokasi haiwan ini duduk di tepi jalan kerana manusia memberi makan,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Beliau berkata demikian susulan tular longgokan buah-buahan ditinggalkan di tepi jalan JRTB Gerik-Jeli beberapa hari lalu.
JRTB menjadi perhatian negara susulan kematian anak gajah yang dilanggar lori serta beberapa lagi berita konflik pertembungan manusia-gajah sehingga menyebabkan kecederaan dan kerosakan harta benda.
Jelas Yusoff, jika tindakan memberikan makanan ini berterusan, ia akan menyebabkan keadaan menjadi lebih parah kerana gajah berfikir bahawa ada makanan setiap kali nampak manusia.
“Kita khuatir jika gajah-gajah ini bertindak agresif kerana lapar dan tiada makanan diberikan. Ia boleh mengubah tabiat gajah ini. Kononnya kita berasa kasihan terhadap haiwan ini, tetapi akhirnya oleh menyusahkan ramai pihak,” katanya.
Sementara itu Pengerusi Persatuan Anak Gerik Di Perantauan, Tajuddin Ali menasihati orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya memberi makanan kepada haiwan di JRTB kerana penduduk Gerik sendiri tidak menjadikan ia satu amalan.
“Kami orang-orang Gerik nasihatkan kepada penguna JRTB jangan suka-suka berenti dan seronok memberi makan kepada haiwan di kawasan situ. Amat berbahaya. Kami orang Gerik sendiri tidak memberi makanan kepada haiwan liar,” katanya. – KOSMO! ONLINE