fbpx

Belum habis tuntut ilmu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AARON-Wooi Yik mengakui masih banyak yang perlu dipelajari daripada Herry Iman biarpun sentuhan jurulatih itu mula menampakkan hasil.

MASIH banyak ilmu yang perlu dipelajari beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dengan ketua jurulatih beregu lelaki kebangsaan, Herry Iman Pierngadi meskipun sudah meraih dua gelaran musim ini.

Sejak kehadiran jurulatih legenda Indonesia yang terkenal dengan julukan Naga Api itu, Aaron mengakui corak permainan dia dan Wooi Yik setakat ini sudah menunjukkan banyak peningkatan positif.

Ia terbukti apabila bekas juara dunia itu sudah memenangi dua kejuaraan sejak di bawah bimbingan Herry, termasuk Kejohanan Badminton Asia (BAC) pada April dan Terbuka Thailand 18 Mei lalu.

Aaron-Wooi Yik hampir untuk merangkul gelaran ketiga berturut-turut pada Malaysia Masters minggu lalu, namun tewas 12-21, 21-15, 16-21 kepada rakan sepasukan, Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

“Saya rasa beliau memang membawa banyak pengalaman berharga kepada kami. Kami dapat rasakan corak permainan lebih bagus dan konsisten berbanding sebelum ini. Baru beberapa bulan di bawah beliau, jadi kami masih berada dalam fasa pembelajaran.

“Buat masa ini, kami sedang berusaha untuk menyesuaikan diri dan terus menyerap ilmu daripada beliau dengan secepat mungkin,” kata Aaron berhubung perkembangan mereka di bawah Herry.

Sebahagian besar peminat-peminat Indonesia menganggap Malaysia bertuah untuk mendapatkan khidmat Herry berdasarkan kemampuannya melahirkan beregu-beregu hebat seperti Candra Wijaya-Tony Gunawan dan Hendra Setiawan-Markis Kido.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI