PETALING JAYA – “Di sebalik senyuman, ada lelah yang disembunyikan.”
Demikian titipan rasa apresiasi isteri kepada pelakon Imran Aqil iaitu Dahlia Rizal yang bersyukur dikurniakan suami yang kuat menggali rezeki demi keluarga.
Dahlia atau nama lengkapnya Nur Dahlia Ahmad Rizal, 24, turut menzahirkan ucapan terima kasih atas pengorbanan suami yang banyak membantu menjaga anak mereka, Yusra.
“Terima kasih kerana terus kuat mencari rezeki walaupun sayang penat,” kata pempengaruh itu menerusi Instagram Story.
Bagaimanapun, Dahlia berharap agar suaminya mendapatkan rehat yang cukup selain sangat berbangga dengan apa yang Imran korbankan.
“Badan suami saya minta rehat, fikiran dia mahu cari duit lebih tetapi hati dia mahu luang lebih masa dengan kami.
“Rehatlah sayang, awak memang hebat. Kami sangat bangga dengan awak,” katanya.
Sebelum ini, pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 9 September 2023 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan pada 7 Mei 2025. – KOSMO! ONLINE