LONDON – Arsenal terus bekerja keras untuk memantapkan pasukan itu pada musim panas ini apabila bersedia membawa masuk khidmat penyerang tulen selepas beberapa musim beraksi tanpa pemain di posisi berkenaan.
Selepas tiga musim gagal dalam percubaan untuk mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris, pengendali pasukan, Mikel Arteta enggan lagi mengambil risiko apabila bersedia untuk mendapatkan khidmat penyerang yang benar-benar tajam di depan gawang.
Justeru, Arsenal dilapor sudah mengemukakan tawaran rasmi kepada Sporting Lisbon untuk mendapatkan khidmat penggempur sensasi, Viktor Gyokeres dan menyelesaikan urusan berkenaan sebelum sesi latihan dan perlawanan pramusim bermula.
Menurut laporan, Arsenal memulakan tawaran awal pada nilai £62 juta (RM354.31 juta) untuk mendapatkan khidmat pemain antarabangsa Sweden itu.
Terma peribadi yang ditawarkan kepada Gyokeres juga menyaksikan pemain itu bakal menerima pendapatan £5.8 juta (RM33.14 juta) semusim, malah dia juga bakal menerima bonus menandatangani kontrak sebanyak £10 juta (RM57.14 juta) jika bersetuju ke Emirates.
Gyokeres berjaya mencuri tumpuan pada saingan musim ini apabila meledak 54 gol dalam 52 penampilan bersama Sporting selain turut berjaya melakukan 13 umpanan jaringan menyebabkan Arteta percaya dia adalah pemain yang diburu Arsenal. – AGENSI