PETALING JAYA – “Perlawanan itu mengajar kita sesuatu khusus buat generasi muda, apabila ASEAN bersatu, kejutan (yang) mustahil mampu menjadi kenyataan.”
Demikian ulas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berhubung kemenangan pasukan ASEAN All-Stars ke atas kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United malam tadi.
Katanya, beliau bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut turun padang menyaksikan semangat kira-kira 72,550 penyokong bola sepak di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
“Perlawanan ASEAN All Star yang mencipta kejutan menewaskan Manchester United hasil jaringan tunggal Maung Maung Lwin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Hannah memberitahu, kepuasan dan rasa bangga menyelubungi dirinya apabila melihat gelombang penyokong dari seluruh Asia Tenggara membanjiri stadium.
“Syabas kepada kedua-dua pasukan yang menyajikan persembahan menarik untuk ditonton bersama,” katanya.
Kelab gergasi EPL, Manchester United kendalian Ruben Amorim tewas mengejut 1-0 kepada ASEAN All-Stars dalam aksi Maybank Challenge Cup 2025 malam tadi. – KOSMO! ONLINE