KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik akhirnya memadam badi lapan kekalahan berturut-turut apabila mengejutkan pasangan ‘bogey’ dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi di pusingan kedua Terbuka Singapura 2025 hari ini.
Gandingan No. 3 dunia itu terpaksa bekerja keras sebelum menang 21-18, 24-26, 21-12 dalam pertarungan sengit berdurasi 69 minit sekali gus mencatat kemenangan pertama ke atas seteru utama mereka sejak 2019.
“Sudah tentu semasa bermain, kami teringat semula kekalahan di Piala Sudirman. Pada set kedua kami ada banyak match point, tapi tak berjaya tamatkan. Nasib baik jurulatih bantu bangkit semula di set ketiga dan fokus satu demi satu mata,” kata Aaron.
Sebelum ini, pasangan negara tewas perlawanan penting dalam Piala Sudirman kepada Hoki-Kobayashi meskipun mendahului mata, namun kali ini mereka mempamerkan kematangan dan kekuatan mental di set penentuan.
Lebih mencabar, Aaron-Wooi Yik turut terganggu dengan beberapa insiden servis fault yang dikira pengadil, namun tetap kekal fokus.
“Kami fokus untuk teruskan permainan. Walaupun servis kami dikira fault beberapa kali, setiap mata sangat penting. Mujur kami dapat bertahan,” kata Wooi Yik.
Dua pemain itu turut menyifatkan kemenangan ini sebagai satu kelegaan besar dan pencetus keyakinan untuk terus mara dalam kejohanan.
“Saya rasa jujurnya ia satu kelegaan kerana sekarang kami berjaya tewaskan mereka. Saya rasa ia menyuntik keyakinan dan kepercayaan kepada diri kami, bukan mudah, tapi kami berjaya atasi dalam set ketiga. Memang puas hati,” ujar Wooi Yik. – KOSMO! ONLINE