JAKARTA – Dua lelaki mengundang perhatian orang ramai apabila menjual air minuman yang didakwa mampu mengabulkan doa kepada pencari kerja di sebuah ekspo di Bekasi, wilayah Jawa Barat, lapor portal berita Lambe Turah.
Ekspo Bekasi Pasti Kerja itu diadakan di Pusat Konvensyen Universiti Presiden dekat daerah Cikarang Utama kelmarin.
Berpuluh-puluh ribu orang berkumpul dan beratur pada awal pagi untuk mendapatkan pekerjaan di ekspo tersebut.
Rakaman dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @malangraya_info menunjukkan dua lelaki itu menjual botol minuman yang dipanggil sebagai ‘air doa’ di tepi jalan.
“Dijamin dapat kerja esok,” kata salah seorang penjual dalam klip video itu.
Rakaman itu mencatatkan lebih 13,500 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi pengguna laman sosial.
“Air doa? Itu air mineral,” kata seorang netizen. – AGENSI