SEBUT sahaja nama Fadlan Hazim, pasti ramai membayangkan watak lelaki romantik atau seorang antagonis yang mampu bikin darah mendidih.
Namun, di sebalik wajah bengisnya, pemilik nama lengkap Fadlan Hazim Anuwar itu sebenarnya seorang penakut dan sering mengelak daripada menonton naskhah seram.
Dia bagaimana pun terpaksa melawan rasa takut apabila menyahut tawaran filem arahan Pierre Andre berjudul Nar’sata Sekutu Setan bagi merealisasikan impian isterinya, Aiya Mukhamedsalova.
“Alasan utama saya bersetuju terima tawaran ini sebab isteri saya suka cerita seram. Saya pula yang tak suka.
“Isteri saya tak pernah tengok drama saya, jadi filem ini memang untuk dia sebenarnya.
“Saya sebagai penonton, memang tidak boleh cerita ‘gore’. Saya jadi ngilu tengok darah atau cerita hantu, yang tiba-tiba ada ‘jump scare’ (elemen kejutan) pun saya tak boleh,” katanya kepada HibGlam.
Pelakon drama Curang Tanpa Niat itu memaklumkan isterinya turut teruja untuk menemaninya ke set penggambaran kerana begitu tertarik dengan kisah seram.
“Pertama kali isteri saya nak datang teman di set penggambaran walaupun sebelum ini tak pernah.
“Dia nak ikut sekurang-kurangnya satu hari. Selalunya dia tak nak ikut lebih-lebih lagi berlakon genre romatik.
“Dia tak cemburu pun sebab tahu saya letak had tetapi dia malas nak tengok,” ujarnya.
Dirasuk
Bercerita lanjut, Fadlan mengakui mula berdepan ketakutan menonton cerita seram sejak pengalaman dirasuk di set penggambaran filem Sniper pada 2013 di Mimaland, Gombak, Selangor.
“Saya pernah kena rasuk di set pada hal tengah jalani penggambaran cerita aksi, bukan seram pun.
“Masa itu saya muda 21 tahun, mulut pula celupar. Minit pertama saya rasa macam demam panas yang terlampau. Mata semua pedih.
“Tiba-tiba saya hilang kawalan, saya cuma ingat saya marah, rasa nak koyak muka orang,” ujarnya.
Namun, dia bersyukur apabila pihak produksi iaitu Metrowealth International Group (MIG) membuat persediaan sekiranya berlaku perkara di luar jangkaan.
“Alhamdulillah, masa itu pihak MIG ada sediakan dua orang ustaz. David Teo memang peka perkara begini. Selepas pengalaman itu, saya mula percaya benda-benda mistik,” luahnya.