SHAH ALAM – Tindakan sepasang kekasih warga Myanmar menyorok di celahan simpanan kotak dalam keadaan panas selama setengah jam nyata sia-sia apabila dicekup pihak berkuasa di Taman Alam Megah, Seksyen 27, di sini hari ini.
Pasangan berusia 20an antara 83 individu disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan menerusi Ops Sasar di dua buah gudang simpanan minuman dan makanan bermula pukul 10 pagi.
Sepanjang operasi selama dua jam, terdapat juga warga asing yang bersembunyi dalam kontena dan peti sejuk beku malah ada yang cuba memanjat pagar setinggi hampir dua meter.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, operasi itu hasil maklumat dan risikan pihaknya dengan rata-rata PATI tersebut telah bekerja lebih enam bulan di gudang berkenaan.
Katanya, semakan mendapati kedua-dua gudang tersebut adalah milik majikan yang sama.
“Kita telah memeriksa 150 warga asing dengan 83 ditahan disyaki PATI yang melakukan pelbagai kesalahan Imigresen.
“Kesemua yang ditahan melibatkan pecahan 68 warga Myanmar termasuk lima wanita selain Bangladesh (10) dan Pakistan (5),” katanya pada sidang selepas operasi tersebut hari ini.
Khairrul Aminus memberitahu, semakan mendapati ada warga asing berkenaan menggunakan kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) selain menyalahgunakan permit kerja.
“Dalam operasi tadi, ada warga asing yang terluka ketika hendak memanjat pagar namun tidak mengalami kecederaan serius.
“Terdapat juga yang melarikan diri ke belukar berhampiran,” jelasnya.
Tambah beliau, kesemua PATI tersebut ditempatkan di Depoh Imigresen Semenyih untuk tindakan selanjutnya.
Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1953/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta AntiPemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran 2007.
“Selain itu, seorang lelaki berusia 48 tahun yang merupakan pengurus syarikat bagi dua gudang tersebut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 55BAkta Imigresen 1959/63.
“Pada masa sama, warga asing disarankan menyertai Program Repatriasi Migran 2.0 yang sedang dilaksanakan bermula 19 Mei lalu hingga 30 April tahun depan dengan bayaran keseluruhan RM520 termasuk denda dan pas khas,” katanya. – KOSMO! ONLINE