KUALA LUMPUR – Tiga kilang yang disyaki menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi Op Mahir di sekitar Jalan Kuchai Lama dan Jalan Chan Sow Lin, di sini, hari ini.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, seramai 352 individu diperiksa terdiri daripada 283 lelaki dan 69 wanita.
“Hasil pemeriksaan, seramai 26 warga asing disyaki bekerja secara haram ditahan membabitkan warganegara Bangladesh, Nepal, India, Myanmar dan Nigeria.
“Dua lelaki tempatan yang bertindak sebagai majikan turut ditahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1963,” katanya selepas selesai operasi dijalankan.
Wan Mohammed Saupee berkata, sebanyak empat borang Imigresen 29 (saman kepada saksi) dikeluarkan sepanjang pemeriksaan.
Sementara itu, wartawan Kosmo! yang menyertai serbuan di sebuah kilang memproses barang lusuh di Jalan Chan Sow Lin, di sini, mendapati terdapat beberapa individu cuba melarikan diri namun gagal selepas ditahan pihak berkuasa.
Tambahnya, kesemua yang ditahan di bawa ke Depot Imigresen Kuala Lumpur untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat Seksyen 6(1)(c) dan Sekyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – KOSMO! ONLINE