LONDON – Pengerusi Tottenham Hotspur, Daniel Levy masih pening kepala sama ada mahu meneruskan niat untuk memecat Ange Postecoglou selaku pengurus pasukan atau mengekalkan khidmatnya pada musim depan.
Sebagai rekod, Postecoglou yang membimbing Spurs sejak dua tahun lalu mempamerkan prestasi ‘yo-yo’ sebelum berjaya membantu pasukan menamatkan penantian trofi selama 17 tahun dengan menjuarai Liga Europa musim ini.
Namun, prestasi Spurs di peringkat domestik sangat mengecewakan apabila menamatkan saingan di kedudukan ke-17 dengan mengalami 22 kekalahan daripada 38 aksi diharungi.
Difahamkan, pengendali Brentford, Thomas Frank menjadi sasaran tunggal Spurs selepas seorang lagi calon, Marco Silva mengesahkan akan kekal bersama Fulham musim depan.
Frank yang memiliki hubungan akrab dengan Pengarah Teknikal Spurs, Johan Lange boleh berhijrah ke kelab utara London itu sekiranya klausa kontraknya bernilai £9 juta (RM51 juta) ditebus.
Bagaimanapun, Postecoglou enggan memikirkan tentang masa depan sebaliknya terus optimis akan diberi ruang dan peluang untuk bekerja pada musim akan datang.
“Kami dalam fasa membina pasukan hebat yang memiliki mentaliti kemenangan. Jika ada keputusan yang berbeza (kemungkinan dipecat), mereka akan beritahu saya dan jika tidak saya akan fokus persiapan musim depan,” katanya. – AGENSI