PETALING JAYA – Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) mencatat keputusan kewangan yang kukuh bagi suku pertama tahun kewangan 2025 (TK 2025) disokong oleh momentum jualan yang berterusan, kepelbagaian produk, serta tumpuan berterusan terhadap pengurusan kos.
Bagi tempoh suku pertama berakhir 31 Mac 2025, Sime Darby Property mencatatkan pendapatan sebanyak RM871.6 juta, keuntungan operasi (OP) sebanyak RM189.1 juta, keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM179.6 juta dan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM118.4 juta.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property, Datuk Seri
Azmir Merican berkata, TK2025 bermula dengan kukuh, meneruskan prestasi cemerlang
yang dicapai tahun lepas.
“Keputusan suku ini didorong oleh penambahbaikan margin, momentum jualan yang memberangsangkan serta sumbangan yang semakin meningkat daripada segmen Pelaburan & Pengurusan Aset (IAM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sime Darby Property telah melancarkan jumlah Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM656.5 juta pada Q1 TK2025, terdiri daripada 38 peratus kediaman bertanah (RM252.1 juta), 32 peratus perindustrian (RM209.5 juta) dan 30 peratus komersial (RM194.9 juta).
Pelancaran utama termasuk The Nine di Elmina West, projek kediaman bertanah yang merangkumi 192 unit rumah teres dua tingkat dengan GDV sebanyak RM167.0 juta yang mencatatkan kadar pengambilan 100 peratus dan Quadria di Bandar Bukit Raja, pejabat separa berkembar empat tingkat pertama dalam perbandaran tersebut dengan GDV sebanyak RM194.9 juta, yang mencatatkan kadar pengambilan 79 peratus setakat 18 Mei 2025.
Syarikat mencatatkan jualan sebanyak RM927.5 juta pada Q1 TK2025, mencapai 26 peratus
daripada sasaran tahunan sebanyak RM3.6 bilion.
Bagi produk perindustrian pula, ia menyumbang jualan tertinggi sebanyak RM461.5 juta (50 peratus), diikuti oleh kediaman bertingkat tinggi RM246.3 juta (27 peratus), kediaman bertanah RM127.9 juta (14 peratus) dan produk komersial RM65.3 juta (7 peratus).
Pelancaran baharu menyumbang 61 peratus (RM564.6 juta) daripada jumlah jualan, didorong oleh produk perindustrian daripada Elmina Business Park dan Serenia Industrial Park, serta disokong oleh pembangunan bertingkat tinggi seperti The Reya di Taman Melawati, Ophera di KLGCC Resort, dan Kanopi Residences di Bandar Elmina
“Tempahan keseluruhan setakat 18 Mei 2025 berjumlah RM1.6 bilion,” ujarnya.
Selain itu, jualan belum dibil Syarikat meningkat ke paras tertinggi sejak 2017, sebanyak RM3.8 bilion, yang memberikan keterlihatan pendapatan yang jelas untuk tempoh tiga tahun akan datang.
GDV belum terjual untuk inventori siap kekal rendah pada RM227.2 juta, manakala baki tunai kekal kukuh pada RM714.4 juta. -KOSMO! ONLINE