BEIJING – Satu klip video memaparkan detik cemas seorang pekerja cuba menyelamatkan diri ketika sebuah tangki penyimpanan bahan kimia yang sedang diperiksanya meletup secara tiba-tiba, lapor akhbar The Sun UK.
Kejadian berlaku di kilang Kimia Gaomi Youdao dekat bandar Weifang, wilayah Shandong sekitar tengah hari semalam.
Dalam video tersebut, pekerja berkenaan dilihat berlari di tengah-tengah laluan di antara tangki ketika bebola api meletus di sekelilingnya.
Dia kemudian berjaya sampai ke tangki bersebelahan ketika tangki di belakangnya meletup dan musnah sepenuhnya, membebaskan asap tebal berwarna hitam ke udara.
Sekurang-kurangnya lima orang maut, manakala 19 lagi cedera dalam letupan tersebut dengan perkhidmatan kecemasan berkata, enam orang masih hilang.
Lebih 230 anggota penyelamat dan 55 jentera dikerahkan ke tempat kejadian untuk mengawal kebakaran dan menjalankan operasi mencari serta menyelamat.
Kilang yang menghasilkan racun perosak serta bahan kimia untuk kegunaaan perubatan itu mempunyai lebih 500 pekerja, demikian menurut rekod pendaftaran korporat. – AGENSI