KUALA TERENGGANU – Gara-gara meletakkan tanda harga produk susu kambing RM2 lebih murah daripada harga jualan pada tiga tahun lalu, sebuah farmasi terkenal di Terengganu didenda RM50,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Nazlyza Mohamad Nazri menjatuhkan hukuman tersebut terhadap syarikat Lau & Tan Pharmacy Sdn. Bhd. yang diwakili pengarah urusannya, Datuk Lau Tiam Kwee.
Beliau berkata, pihak pembelaan gagal menyangkal kes prima facie yang dikemukakan pihak pendakwaan pada akhir kes pembelaan.
Berdasarkan pertuduhan, syarikat Lau & Tan Pharmacy didakwa mengelirukan pengguna dengan mempamerkan tanda harga RM89.90 terhadap produk susu Purenat Goat Gold Milk Powder 800 gram sedangkan harga jualannya ialah RM91.90.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di cawangan farmasi tersebut di Pusat Komersial Chabang Tiga di sini pada pukul 9.30 pagi, 25 Mei 2022.
Syarikat tersebut didakwa mengikut Seksyen 12(1)(a) Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM250,000 jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE