MELAKA – Seorang operator kilang maut selepas motosikal yang dia tunggang merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu seorang guru wanita di Jalan Tanjung Minyak berhampiran Taman Arked Seri Rambai, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, mangsa, Muhammad Shafie Sha’ari, 20, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada anggota badan dan kaki.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila MPV jenis Mitsubishi Xpander dipandu guru berusia 50 tahun itu keluar dari simpang untuk membelok ke Jalan Bukit Pala.
“Guru terbabit dilaporkan telah memeriksa keadaan lalu lintas sebelum keluar dari simpang, namun dipercayai tidak menyedari kehadiran mangsa yang datang dari arah Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Cheng ke Tanjung Kling.
“Motosikal jenis Honda RS-X ditunggang mangsa kemudian merempuh bahagian hadapan kiri kenderaan itu menyebabkan dia tercampak dan maut di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, pemandu wanita berkenaan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Difahamkan mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Solok Lereh, Tanjung Kling selepas tamat syif berkerja di sebuah kilang di Taman Teknologi Cheng.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya,” ujarnya.