KUCHING – Seorang pekerja tapak pembinaan laluan Transit Aliran Autonomi (ART) di Jalan Lapangan Terbang di sini maut selepas dilanggar Lamborghini.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, kejadian dilaporkan kira-kira pukul 6.50 petang semalam, mangsa yang merupakan lelaki warga asing berusia 52 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah bahagian kepala.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa mangsa sedang menyeberangi jalan lalu dilanggar oleh sebuah kereta Lamborghini yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun yang sedang dalam perjalanan dari Jalan Lapangan Terbang menuju ke Padungan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata pemandu kenderaan terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE