KUALA LUMPUR – Skuad ASEAN All-Stars menafikan hasrat gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United untuk menang di bumi Malaysia selepas menang 1-0 pada aksi Piala Cabaran sebentar tadi..
Pengurus United, Ruben Amorim ternyata tidak senang duduk selepas menyaksikan barisan pemain The Red Devils beraksi hambar sepanjang 90 minit perlawanan.
Pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, United diasak hebat skuad kendalian Kim Sang-sik yang menguasai awal permainan dan beberapa kali mengancam kubu lawan.
Skuad ASEAN All-Stars hampir membuka jaringan menerusi Sandro Reyes pada minit ke-21, tetapi rembatannya berjaya diselamatkan oleh Andre Onana.

Tertekan dengan ancaman tuan rumah, United memperkemaskan jentera serangan tetapi percubaan Kobbie Mainoo diselamatkan penjaga gol ASEAN AlL-Stars, Patiwat Khammai pada minit ke-33
Bersambung pada babak kedua, United memasukkan beberapa pemain utama seperti Alejandro Garnacho, Amad Diallo dan kapten, Bruno Fernandes.
Fernandes terus memberi impak dengan membantu United memperkemaskan jentera serangan dan berjaya melakukan percubaan tetapi sedikit tersasar pada minit ke-56.
Gol yang dicari akhirnya tiba pada minit ke-71 hasil serangan balas pantas barisan pemain pilihan Asia Tenggara yang berjaya disudahkan bintang Myanmar, Mg Mg Lwin.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan tetapi keputusan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan sekali gus mengecewakan lebih 70,000 penyokong setia The Red Devils. – KOSMO! ONLINE