fbpx

Laporan Ketua Audit Negara bebas dan telus, tanpa campur tangan sesiapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar berucap pada Majlis Penutupan Persidangan Juruaudit Asean 2025 di PICC hari ini. Foto FAISOL MUSTAFA/ KOSMO!

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah campur tangan dalam penyediaan laporan Ketua Audit Negara walaupun terlebih dahulu menerima taklimat mengenainya.

Perdana Menteri berkata, ia sejajar dengan komitmen kerajaan yang mahu melihat prinsip tadbir urus dikendalikan dengan lebih telus dan bertanggungjawab.

Menurutnya, laporan Ketua Audit Negara yang dibentangkan kepada Kabinet dan Parlimen untuk dibahas secara terbuka tidak melalui sebarang pengubahsuaian atau tapisan daripada pihaknya.

“Jabatan Audit Negara (JAN) memang beri taklimat kepada saya, baru-baru ini dalam tempoh dua minggu tetapi ia bukan untuk saya ubah atau masuk campur.

“Taklimat itu sekadar untuk makluman sebelum laporan dibentang kepada Jemaah Menteri dan kemudiannya ke Parlimen untuk perbahasan terbuka. Inilah yang kita maksudkan dengan tadbir urus baik dan ketelusan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Persidangan Juruaudit ASEAN di sini, hari ini.

Anwar berkata, beliau turut mengagumi peranan Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi yang disifatkannya sebagai ‘wanita besi’ kerana tetap teguh melaksanakan tugas walaupun terpaksa berdepan tekanan dan tindakan yang tidak popular.

Katanya, pengalaman mengendalikan skandal besar seperti 1MDB membuktikan bagaimana firma audit besar sekali pun tidak kebal daripada bersekongkol dalam penyelewengan, justeru mekanisme kawalan perlu diperkasa.

Sementara itu, mengulas mengenainya kerjasama serantau, Anwar berkata, ASEAN perlu terus menonjolkan diri sebagai rantau yang aman dan berpegang kepada prinsip tadbir urus baik serta kebertanggungjawaban.

Beliau juga menyatakan sokongan terhadap Wawasan ASEAN 2045 yang menurutnya mampu melonjakkan peranan institusi audit di peringkat serantau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI