BANGI – Vietnam dan Malaysia berkongsi visi dari segi pembangunan mampan yang berlandaskan pengetahuan, termasuk keutamaan kepada sains, inovasi dan pendigitalan sebagai tonggak teras pertumbuhan.
Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh berkata, dalam merealisasikan visi tersebut, kerjasama antara Vietnam dan Malaysia dilaksanakan dalam bidang digital, sains dan bahasa Inggeris termasuk pelbagai Memorandum Persefahaman (MoU) berkait pendidikan.
Menurutnya, selain itu memudahkan pertukaran pelajar dan fakulti serta melancarkan program penyelidikan, latihan dan akademik bersama.
“Malaysia merupakan destinasi popular ribuan pelajar Vietnam untuk belajar di sini dan begitu juga sebaliknya. Pada masa ini, sebanyak lapan program pendidikan bersama merentasi bidang utama.
“Bagaimanapun, masih terdapat potensi besar untuk kerjasama yang lebih mendalam berhubung perkara ini,” katanya pada Syarahan Umum Perdana Menteri Vietnam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa) UKM, Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor yang menjalankan fungsi Naib Canselor UKM.
Minh Chinh berkata, sehubungan itu MoU yang ditandatangani antara UKM bersama dua universiti terbaik di Vietnam iaitu Vietnam National University–Hanoi dan Vietnam National University–Ho Chi Minh membuka pintu baru dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan pembangunan modal insan.
“Kami juga menyasarkan untuk mempromosi pelancongan, pertukaran budaya serta penglibatan rakyat dengan rakyat,” katanya.
Katanya, dengan ini akan dapat menegakkan perpaduan ASEAN, ‘centrality’, pembangunan mampan dan inklusif serta tindak balas bersama terhadap cabaran global seperti perubahan iklim dan isu maritim. – KOSMO! ONLINE