PASANG BESAR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis berjaya mematahkan cubaan menyeludup barangan tidak berkastam bernilai RM645,832 dengan hasil cukai RM196,173 dalam beberapa siri serbuan baru-baru ini.
Pengarah JKDM negeri, Ismail Hashim berkata, dalam serbuan pertama pada 5 Mei lalu, sepasukan anggota kastam menyita kira-kira 28 tan ayam sejuk beku bernilai RM266,076 yang dibawa masuk dari Thailand di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Padang Besar.
“Serbuan kedua dibuat pada 17 Mei lalu sekitar pukul 2.15 pagi selepas kastam negeri mendapat maklumat mengenai aktiviti penyeludupan barang tidak berkastam di sebuah rumah di Taiping, Perak dan menemui sejumlah 24,210 batang rokok dan 113.25 liter minuman keras bernilai RM11,173.20 dengan cukai RM19,681.41. Kesemua barangan itu ditemui pada bahagian but tiga buah kereta berasingan,” katanya ketika sidnag akhbar di Stor JKDM Pasang Besar di sini hari ini.
Tambahnya, kastam turut menahan seorang peniaga peniaga lelaki berusia 60 dipercayai terlibat dalam kegiatan itu sejak satu setengah tahun lalu.
Menurut Ismail, serbuan ketiga dilakukan hari sama pada pukul 1.30 petang apabila anggota Cawangan Penguatkuasan Kuala Perlis melakukan pemeriksaan di sebuah rumah di Sungai Petani, Kedah dan menemui sejumlah 73,040 batang rokok putih dan kretek tidak berkastam.
“Serbuan terakhir dilakukan pada 20 Mei lalu sekitar pukul 10 pagi apabila pihak kastam mendapat makkumat risikan sebelum melakukan pemeriksaan ke atas dua buah kontena di Pelabuhan Klang, Selangor,” ujarnya.
Kesemua 7,526 unit barang dagangan berjumlah RM345,009 melibatkan cukai RM125,928.29 disita dan kes disiasat di bawah Seksyen 133(1) (a) Akta Kastam 1967.