KUALA LUMPUR – Seramai 8,603 individu terlibat kes perjudian ditahan melalui 6,719 serbuan dalam Op Dadu Khas di seluruh negara.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Razarudin Hussin berkata, operasi secara bersepadu itu dikendalikan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
“Hasil serbuan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas sebanyak 3,464 peranti elektronik termasuk komputer, tablet, dan telefon bimbit serta wang tunai lebih RM1.6 juta.
“Operasi ini menunjukkan komiten dan ketegasan PDRM yang tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk aktiviti jenayah termasuk perjudian haram,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan JSJ Bukit Aman di sini hari ini.
Menurutnya, selain Op Dadu Khas, beberapa kejayaan lain turut dicapai JSJ dalam operasi berskala besar antaranya Op Mega dan Op Cyber Guardian.
Jelasnya, Op Pintas Mega dikendalikan secara bersepadu oleh Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) JSJ Bukit Aman bersama kontinjen seluruh negara dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Tenaga Kerja dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada Februari lalu.
“Sebanyak 45 serbuan dijalankan melibatkan 249 individu ditahan selain menyelamatkan 144 mangsa yang terperangkap dalam jaringan eksploitasi manusia.
“Ini jelas membuktikan kesungguhan dan keupayaan PDRM dalam memerangi jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran secara tuntas dan profesional,” katanya.
Razarudin berkata, JSJ turut melakar kejayaan dalam pelaksanaan Operasi Cyber Guardian anjuran Pihak Berkuasa Singapura dengan penglibatan enam buah negara iaitu Jepun, Hong Kong, Korea Selatan, Singapura, Thailand termasuk Malaysia.
“Operasi yang dijalankan pada 28 Februari hingga 28 Mac lalu memberi tumpuan kepada pembanterasan jenayah penganiayaan seksual kanak-kanak secara atas talian.
“Hasil operasi ini, empat individu terdiri daripada akauntan, pereka web, pekerja dalam industri telekomunikasi dan seorang penjawat awam berjaya ditangkap dengan rampasan lebih 50,000 bahan eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM),” ujarnya. – KOSMO! ONLINE