LONDON – Impian Bayern Munich untuk mendapatkan khidmat pemain sayap Brighton, Kaoru Mitoma dengan mudah mungkin tidak kesampaian apabila Arsenal dilapor menyatakan minat serius terhadap pemain tersebut.
Pengendali The Gunners, Mikel Arteta dilaporkan menjadikan Mitoma sebagai alternatif sekiranya hasrat kelab itu untuk mendapatkan khidmat Rodrygo dari Real Madrid sukar direalisasikan.
Biarpun fokus utama Arsenal ketika ini adalah untuk mendapatkan penyerang utama di posisi No. 9 dengan Viktor Gyokeres sebagai sasaran, namun mereka tetap memberi perhatian untuk menambah kekuatan di bahagian sayap.
Pengarah sukan baharu Arsenal, Andrea Berta percaya, pasukan itu perlu membina kekuatan di semua posisi dengan membawa masuk pemain yang mampu untuk membantu mereka memburu gelaran musim depan.
Laporan menyebut bahawa cadangan untuk membawa masuk Mitoma ke Emirates sudah dibincangkan dan Berta bersama pasukannya sedang membuat penilaian intensif terhadap kualiti dan kemampuan pemain Jepun itu.
Bayern dilaporkan sedia menyiapkan dana sekitar £38 juta (RM217.16 juta) untuk memujuk Brighton melepaskan khidmat Mitoma menyebabkan Arsenal perlu menawarkan nilai yang lebih tinggi.
Januari lalu, gergasi Liga Arab Saudi, Al Nassr menawarkan nilai yang agak lumayan untuk Brighton melepaskan pemain itu, namun ditolak kelab terbabit. – AGENSI10