KUALA LUMPUR – Luluh hati pasangan suami isteri peguam apabila mendapati bayi tunggal mereka yang berusia tujuh bulan maut ketika berada di sebuah taska di Setapak di sini kelmarin.
Mangsa, Muammar Aidil dilaporkan tidak sedarkan diri tidak sampai sejam selepas dihantar ke premis jagaan tersebut pada pukul 9.20 pagi sebelum disahkan meninggal dunia.
Bapanya, Aidil Khalid, 41, berkata, pemergiaan Muammar dianggap begitu pantas dan mengejutkan dia sekeluarga kerana bayi tersebut dalam keadaan sihat dan ceria ketika dihantar oleh isterinya, Nur Farihah Meor Mazli, 29, ke taska berkenaan pada pagi kejadian.
“Anak kami dalam keadaan sihat ketika dihantar ke taska pukul 9.20 pagi. Tidak lama kemudian saya dimaklumkan dia (bayi) pengsan, apabila sampai di hospital, doktor kata dia sudah tiada,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini semalam.
Cerita lelaki itu, pada hari kejadian bayinya tidak menunjukkan sebarang gejala atau simptom tidak sihat.
Katanya, isterinya menerima panggilan dari taska yang memaklumkan bayi mereka seperti pengsan selain terdapat susu keluar dari hidungnya.
Nur Farihah kemudian bergegas ke taska tersebut sebelum membawa bayinya ke jabatan kecemasan sebuah hospital swasta di Setapak.
“Doktor yang melakukan pemeriksaan beritahu bayi kami tidak menunjukkan sebarang respons tetapi pasukan perubatan tetap berusaha memberikan bantuan pernafasan selama 40 minit.
“Akhirnya mereka (pasukan perubatan) beritahu Muammar sudah tiada,” katanya.
Aidil memberitahu, sehari sebelum kejadian, bayinya kelihatan ceria dan aktif termasuk bermain dengan kucing.
“Kami berasa sangat terkilan kerana dia sihat sewaktu dihantar ke taska,” katanya.
Tambah lelaki itu, Muammar dihantar ke taska berkenaan sejak Mac lalu dan sepanjang tempoh tersebut tiada sebarang masalah timbul.
Aidil bagaimanapun enggan membuat sebarang tuduhan, namun mahu pihak berkuasa menyiasat kes kematian bayinya secara menyeluruh termasuk unsur kecuaian.
“Saya sudah membuat laporan polis berhubung kejadian ini. Bedah siasat dijalankan di hospital hari ini (semalam). Kami masih menunggu laporannya bagi mengetahui punca sebenar kematian.
“Saya bukan hendak tuduh sesiapa, tetapi saya perlukan jawapan (punca kematian). Saya mahu tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam tempoh sejam (berada di taska) itu,” katanya.
Aidil berkata, dia difahamkan taska tersebut berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan turut mengendalikan beberapa bayi lain.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Syahrul Anuar Abdul Wahab mengesahkan menerima laporan daripada bapa bayi tersebut yang dibuat di Balai Polis Setapak pada pukul 1.26 tengah hari kelmarin.
“Kejadian berlaku antara pukul 9 dan 11 pagi di sebuah taska di Taman Danau Kota,” katanya.















