PETALING JAYA – Misi Journey to Tanah Haram dijayakan oleh pelakon Amar Baharin dan penjelajah Grand Slam, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin bakal tiba di penghujung apabila dua anak Malaysia itu dijangka tiba di Madinah dalam tempoh tiga hingga empat hari lagi.
Setelah merentasi pelbagai negara dengan berbasikal dan pengangkutan darat serta udara, duo ini kini berada di Qassim setelah berkayuh dari Riyadh ke Al-Ghat serta bersiap untuk berkayuh sejauh 120 hingga 150 kilometer (km) dari Hanakeyah sebelum menjejakkan kaki di Madinah.
Berkongsi detik perjalanan getir mereka, Amar berkata, dia berdepan cuaca sehingga mencecah 51 darjah Celsius ditambah angin kuat dari hadapan menyebabkan kesukaran ketika kayuhan basikal.
“Tapi Allah tunjukkan kasih-Nya. Setiap kali kami kepenatan, pasti muncul hamba-Nya yang baik membantu kami. Antara ‘keajaiban’ dialami termasuklah tayar basikal pancit di lokasi strategik.
“Selalunya di depan bengkel kenderaan dan tempat teduh dan rehat. Seolah-olah diatur Allah. Kami turut diberikan air minum, makanan dan juga diberikan duit,” katanya dalam satu kenyataan.
Malah, Amar dan Muhamad Muqharabbin atau Qobin juga kerap ditawarkan penginapan percuma oleh rakyat Malaysia di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi, malah dilayan bak musafir mulia.
“Perjalanan ini bukan sekadar soal fizikal, tetapi juga membuka hati. Kami tak sangka dapat bantuan sebegini dan tidak pernah kami minta.
“Selagi boleh, kami cuba elakkan menyusahkan mereka, tapi Allah telah aturkan segala galanya. Perbelanjaan selama ini tak sampai RM12,000 kerana ramai yang ringankan beban kami,” katanya.
Tambahnya, misi tersebut bukan ekspedisi rasmi atau cuba mencipta rekod, tetapi sekadar kembara dua sahabat yang ingin tiba ke Tanah Suci Madinah melalui jalan darat dan kewangan sendiri.
Sementara itu, Qobin berkata, pada awalnya misi dirancang melalui India dan Pakistan sebelum ke Iran, namun seminggu sebelum berlepas dari Bangkok, Kedutaan Malaysia di kedua-dua negara menasihati mereka untuk mengelak laluan tersebut ekoran konflik bersenjata.
“Kami akur dan ubah hala tuju. Ini pengajaran, manusia merancang, Allah yang tentukan,” katanya.
Mereka turut memohon doa daripada semua bagi memudahkan perjalanan mengharungi hari-hari terakhir menjelang ke Madinah.
“Kami memohon doa dari semua dan ribuan terima kasih atas sokongan di media sosial yang tidak putus-putus mendoakan kami.
“Doa anda semua jadi kekuatan disepanjang musafir kami. Kelmarin saya mengalami kekejangan satu badan kerana cuaca amat panas.
“Walaupun sudah minum banyak air, tapi masih alami kekejangan otot dan terpaksa berehat dua malam di pekan Qassim,” kata Qobin.
Katanya, Journey to Tanah Haram akan tamat di Madinah sekitar 31 Mei atau 1 Jun ini.
Sebelum ini, Misi Journey to Tanah Haram disempurnakan pelepasannya oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang bermula di Padang Besar, melalui Bangkok, Iran, UAE dan bakal berakhir di Madinah. – KOSMO! ONLINE