MILAN – Pengendali Inter Milan, Simone Inzaghi menolak spekulasi mengenai masa depannya di kelab itu menjelang final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Paris Saint-Germain (PSG) hujung minggu ini.
Nama Inzaghi dikaitkan dengan perpindahan lumayan ke kelab Liga Pro Saudi, Al-Hilal meskipun masih terikat kontrak bersama Inter sehingga Jun 2026.
“Setiap tahun perkara ini berulang, semasa di Lazio, sekarang di Inter. Memang ada tawaran dari dalam dan luar Itali, termasuk dari Arab Saudi.
“Tapi saya rasa sekarang bukan masa yang sesuai untuk fikirkan perkara itu. Seperti kata presiden kelab, kami akan berbincang selepas final nanti. Fokus utama tetap untuk kebaikan Inter,” katanya.
Pengendalui berusia 49 tahun itu membimbing Inter menjulang kejuaraan Serie A musim lalu dan kini dalam misi menjulang kejuaraan UCL selepas dua kali mara ke final dalam tempoh tiga musim.
Mereka dijadual berdepan PSG di Allianz Arena, Jerman pada Sabtu ini selepas gagal mempertahankan kejuaraan liga yang dimenangi Napoli.
“Jumaat lalu hari yang sukar buat kami. Tapi dalam bola sepak, tak boleh pandang ke belakang. Kena terus ke hadapan. Saya percaya kumpulan pemain ini akan beri sesuatu yang istimewa lagi Sabtu ini,” katanya.
Inzaghi turut mengesahkan kapten pasukan, Lautaro Martínez kini pulih daripada kecederaan dan bersedia diturunkan pada aksi final selepas diketepikan dalam tiga aksi terakhir Serie A. – AGENSI