BIARPUN membuat kemunculan sulung di pentas Porsche Carrera Cup Asia (PCCA), pelumba muda negara, Amer Harris Jefry meletakkan sasaran tinggi untuk muncul juara keseluruhan.
Pelumba berusia 22 tahun itu yang kini mendapat tajaan CIMB Group Holdings Berhad dengan kontrak dua tahun, yakin dia mampu memberikan aksi terbaik lebih-lebih lagi untuk meraih kemenangan Pusingan 3 di Litar Antarabangsa Sepang, berlangsung 6 hingga 8 Jun ini.
“Saya dah habiskan beribu jam di Sepang. Jadi saya yakin boleh menang di sana. Apapun, misi saya menang keseluruhan tetapi bukan mudah kerana ada pencabar sengit yang lama dalam perlumbaan ini.
“Saya akan cuba yang terbaik. Saya rasa jika berada kedudukan tiga teratas masih dalam posisi terbaik,” kata Amer yang kini menduduki ranking No. 4 dengan 44 mata daripada 22 pelumba keseluruhan.
Ketika ditanya mengenai perancangan kariernya, Amer meletakkan sasaran untuk menyertai perlumbaan Super GT di Jepun dan menjadikan negara Matahari Terbit itu sebagai medan terbaik membuktikan kebolehannya.
Di samping itu, Harris menyatakan hasrat untuk menjadi pelumba Malaysia pertama dalam sejarah bersaing dalam Super GT dengan tempoh sasaran tiga hingga empat tahun akan datang.