KUALA SELANGOR – Hasrat seorang wanita dan tiga anaknya bercuti di Korea Selatan terbantut apabila menerima khabar duka suaminya maut akibat dihempap buah kelapa sawit di Batu 7, Ijok di sini, kelmarin.
Tragedi pilu menimpa Allahyarham Shaiful Bahri Leman, 63, itu menyebabkan empat beranak berkenaan segera bergegas pulang ke tanah air semalam.
Isteri mangsa, Norzimah Gumri, 51, berkata, dia terkejut menerima berita kematian arwah daripada ahli keluarga sejurus tiba di Lapangan Terbang Incheon, kira-kira pukul 6.15 petang kelmarin.
“Pada waktu itu, fikiran saya menjadi kosong dan anak segera membeli tiket pulang ke Malaysia yang hanya ada pukul 9 pagi semalam.
“Kami terpaksa bermalam di lapangan terbang itu dengan turut berkumpul membacakan surah Yasin dan mendoakan arwah suami,” katanya sebak ketika ditemui di kediamannya di Kampung Batu 8 Ijok di sini, hari ini.
Terdahulu, ibu kepada lima anak itu menerima kunjungan dan sumbangan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Ijok, Mohamad Afandy Mohd. Dahlan.
Menurut Norzimah, dia yang tiba di rumah segera menziarah pusara suaminya di Tanah Perkuburan Islam Batu 8, Ijok lewat petang semalam. – KOSMO! ONLINE