fbpx

Arwah suami pergi, tapi tinggalkan perlindungan buat kami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Khalidah (kanan) menyerahkan sumbangan faedah penakat kepada Anis (tengah) pada Program Ziarah Prihatin Perkeso di Klang Gate Baru, hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO

KUALA LUMPUR – “Arwah pergi terlalu cepat… tapi caruman dia pada Perkeso jadi penyambung hidup kami sekeluarga”.

Itu luahan penuh syukur Anis Sabariah Kamaruddin, 45, balu kepada bekas petugas syarikat media, Mohd. Khairi Mazlan yang meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 24 Mei lalu.

Pemergian Allahyarham bukan sahaja meninggalkan kekosongan dalam hati seorang isteri dan empat anak, malah turut merobek ketabahan apabila salah seorang daripada anak mereka merupakan pelajar orang kurang upaya (OKU) yang masih bersekolah dan memerlukan penjagaan rapi.

Namun, di sebalik kedukaan itu, terselit secebis sinar apabila caruman yang pernah dilakukan Allahyarham semasa hayatnya kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), menjadi penyelamat kepada keluarga ini.

Berdasarkan semakan rekod Perkeso, Allahyarham masih layak menerima bantuan kerana kali terakhir mencarum pada Jun 2021.

Ini sekaligus membolehkan waris menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM3,000 dan Pencen Penakat berjumlah RM2,553 sebulan bermula hujung bulan ini.

Menurut Anis, dia masih terkejut dan dalam fasa menerima kehilangan suami tercinta baru-baru ini.

“Alhamdulillah, faedah ini sedikit sebanyak mampu menampung perbelanjaan pendidikan dan keperluan harian kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Ziarah Prihatin Perkeso di sini, hari ini.

Sumbangan itu disampaikan oleh Ketua Cawangan Penjenamaan, Media dan Perhubungan Awam Perkeso, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin.

Sementara itu, Perkeso menyifatkan pemergian seorang ketua keluarga sememangnya kehilangan yang tiada galang ganti.

“Namun, Perkeso sentiasa berusaha memastikan setiap pencarum yang layak akan menerima hak mereka dan keluarga yang ditinggalkan akan terus dibela serta dilindungi.

“Perlindungan keselamatan sosial bukan sekadar angka bantuan kewangan, tetapi simbol kasih sayang yang diwariskan pencarum kepada mereka yang tersayang, walaupun selepas ketiadaan mereka,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI