PETALING JAYA – AmBank Group melalui AmBank Islamic Berhad (AmBank Islamic) telah meluluskan kemudahan perbankan bernilai RM70 juta kepada Fabulous Sunview Sdn Bhd (FSSB), anak syarikat milik penuh Sunview Group Berhad (Sunview Group).
Kemudahan tersebut adalah untuk membiayai pembinaan ladang solar fotovoltaik dengan kapasiti 29.99 MWac di Sungai Petani, Kedah yang telah dianugerahkan oleh Dayasinar Energy Sdn Bhd di bawah Program Korporat Tenaga Hijau.
Program ini adalah salah satu inisiatif di bawah Suruhanjaya Tenaga Malaysia yang bertujuan untuk mempercepatkan penyertaan korporat dalam tenaga boleh baharu.
Pengarah Urusan Perniagaan Perbankan AmBank Group, Christopher Yap berkata, Kumpulan sedia menyokong FSSB dan Sunview Group melalui inisiatif ini.
“Menuju masa depan, kami kekal komited untuk mengukuhkan sumbangan kepada ekosistem tenaga boleh baharu dengan meneroka peluang pembiayaan berpotensi dalam program kerajaan pada masa depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif, Sunview Grou HP Ong berkata, pihaknya menghargai atas keyakinan yang diberikan oleh AmBank terhadap syarikat.
“Kemudahan kewangan ini memainkan peranan penting untuk menyokong usaha kami dalam projek solar di bawah Skim CGPP.
“Melalui sokongan ini, kami akan terus menyumbang kepada transformasi tenaga di negara ini dan juga menyumbang ke arah lebih hijau untuk kelestarian masa depan,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE