BALING – “Saya merasa agak pelik apabila adik ipar saya, Nor Amalina Ishak, 33, yang saya panggil adik membuat panggilan video sekitar pukul 12 tengahari tadi dan meminta maaf sekiranya apa-apa berlaku padanya nanti,” kata Nurul Wahida Rohani, Takiyudin, 36.
Nurul Wahida tidak menyangka itu perbualan terakhir bersama adik iparnya sebelum dikejutkan dengan berita kemalangan yang meragut nyawa adik iparnya itu berhampiran Klinik Kesihatan Kampung Landak, Kupang, kira-kira pukul 4 petang tadi.
“Ketika kejadian adik dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah hendak ke rumah kawannya Kupang dengan menunggang motosikal jenis Bonus SYM untuk mengambil barang makanan yang ditempahnya kerana dia ingin mengadakan sedikit jamuan untuk keluarga.”
“Adik sangat rapat dengan anak-anak saya terutamanya yang bongsu, ketika panggilan video itu adik ingin melihat anak-anak saya, sebelum ini dia tidak pernah berbuat begitu,” kata Nurul Wahida ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat Hospital Daerah Baling.