SEPANG – Tiga kanak-kanak berusia lingkungan lima hingga 11 tahun kini disiasat kerana menyebabkan kematian seekor anak kucing di Bandar Baru Salak Tinggi, di sini.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 379 dan 428 Kanun Keseksaan bagi menyiasat kes itu.
Beliau berkata, buat masa ini, tiada tangkapan dibuat ke atas kanak-kanak itu dan kes juga akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan siasatan dalam masa terdekat.
“Sebelum ini, kami telah menerima satu laporan polis berhubung kejadian kecurian dan penganiayaan terhadap seekor kucing peliharaan oleh pemiliknya. Kami dimaklumkan anak kucing itu telah dianiayai hingga mati di sebuah taman perumahan di sini.
“Susulan itu, pengadu iaitu pemilik kucing telah membuat laporan polis setelah mendapati anak kucingnya telah dicuri dan dianiaya sehingga mati,” katanya ketika dihubungi hari ini.-KOSMO! ONLINE