ALOR GAJAH – Seorang pekerja subkontrakor maut, manakala rakan sekerjanya cedera selepas kenderaan dinaiki mereka dirempuh sebuah bas henti-henti, BAS.MY di Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ) berhampiran Taman Awan Biru, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.55 petang itu, mangsa, Muhammad Aiman Mohd. Farid, 23, meninggal dunia di lokasi selepas tercampak keluar daripada kenderaan jenis Perodua Kembara yang dipandunya.
Rakannya, Muhammad Hakimi Hafiz Baharin, 22, mengalami luka-luka di badan dan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, sebelum kejadian mangsa yang dalam perjalanan dari arah Rembia ke AMJ telah memberhentikan kenderaan di bahu jalan.
“Tiba-tiba sebuah bas henti-henti bewarna merah jambu yang dalam perjalanan dari Terminal Melaka Sentral ke Jalan AMJ telah memasuki bahu jalan dan merempuh kenderaan mangsa.
“Akibat rempuhan itu, pemandu Kembara telah tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, ketika kemalangan berlaku, cuaca dalam keadaan cerah dan tidak hujan.
“Kita telah menahan pemandu bas berusia 37 tahun dan hasil saringan ujian air kencing dilakukan ke atasnya adalah negatif dadah.
“Dalam kes ini terdapat rakaman papan pemuka bas dan akan digunakan bagi membantu siasatan. Kita juga akan membuat permohonan reman lelaki tersebut hari ini,” ujarnya.
Katanya lagi, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Alor Gajah dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pada 25 Mei tahun lalu, media melaporkan seorang remaja, Muhammad Harith Muhamad Zaki, 18, maut digilis selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan bas henti-henti di Jalan Pantai Kundor dekat sini.
Pada 6 Jun pula seorang pemuda, Muhammad Aizad Khairil Anwar, 20, maut selepas motosikal yang dia tunggang merempuh bahagian belakang pengangkutan awam itu di Jalan Satu Krubong, di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa yang sepatutnya menghadiri majlis perkahwinan kakaknya meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Kerajaan negeri sebelum ini turut mendedahkan tindakan untuk memberhentikan pemandu Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti (SBST), BAS.MY yang dikesan bermasalah susulan menerima pelbagai aduan berhubung cara pemanduan yang berbahaya.- KOSMO! ONLINE